Monthly Archives: June 2011

Islahul Qulub: Tawakal

Saudaraku tercinta,
Setiap kali Allah SWT menutup pintu rezeki, maka Dia akan membuka enam atau tujuh pintu yang lain. Tetapi – dengan bodoh – kita sering berkeluh kesah: “Ya Allah, mengapa engkau tutup jalan ini?” Allah SWT menutup satu pintu untuk membuka banyak pintu, di saat kita melihat dunia ini penuh kegelapan. Saat itu, ketahuilah, bahawa Al Wakil tidak akan pernah menelantarkan kita, bahkan Dia akan membuka pintu rezeki yang kita redhai dan suka.

Renungilah, janin di dalam perut ibunya makan melalui tali pusat dengan satu jalan, yakni plasenta. Ketika lahir, dia menangis. Mengapa? Dia terasa kehilangan jalan yang dia biasa gunakan. Dia tidak tahu bahawa Allah dengan kasih sayangNya memberikan dua jalan padanya, yakni melalui ibunya sendiri. Allah SWT memberikan susu yang bersih, nikmat lagi bermanfaat. Ketika dia habis disusui, maka dia menangis kerana terasa kehilangan kebiasaan. Dia tidak tahu bahawa Allah SWT memberikan empat jalan rezeki, iaitu dua makanan berupa daging dan sayuran dan dua minuman berupa air dan susu. Apabila dia mati, dia akan menangis kerana semua jalan telah ditutup. Dia tidak tahu bahawa Allah SWT membukakan lapan jalan, iaitu pintu syurga.

Itulah, Al Wakil yang tidak akan pernah menelantarkan kita dalam keburukan. Dia tidak akan menghalang satu rezeki pun dari manusia. Apabila Dia menghalang, maka Dia menyuruh kita memikirkan hikmahnya – bahawa Allah SWT membuka jalan rezeki dengan menutup jalan rezeki lain atau untuk menguji dan mengampuni kita, hingga kita keluar dari dunia sebagai penghuni syurga.

Lalu, mengapa kita enggan bertawakal? Perhatikan besarnya kerajaan Allah SWT dan pengaturannya terhadap alam semesta ini, hingga kita tahu bertapa layaknya kita bertawakal kepada Allah SWT:

Allah SWT berfirman:

Katakanlah, Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan engkau cabut kerajaan dari orang yang engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hina orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa ke atas segala sesuatu.” (Ali Imran: 26)

Mari kita dengar ayat ni dengan hati sanubari, bukan hanya dengan telinga. Setelah ini, kita akan tetap bersandar pada manusia? Si fakir akan menggantungkan diri pada si fakir yang lain atau dia akan menyandarkan diri pada Yang Maha Memiliki? Kita akan mengatakan bahawa tidak ada penolong, kecuali manusia?

Di mana keyakinan kita pada Allah SWT? Di manakah Al Wakil dalam kehidupan kita?

(Islahul Qulub – Amr Khalid)

Advertisements